BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 11 March 2011

INSPIRASI SI KECIL BERNAMA SEMUT..

alt
Kita seringkali terdengar perumpamaan rajin seperti semut tetapi tahukah kita kenapa wujud perumpamaan sedemikian? Mungkinkah ada perumpamaan lain yang juga sesuai untuk semut?
Semut, makhluk Allah yang kecil, tetapi kecilnya seperti cili padi, pedas dan confirm berasap? kenapa ya?
Kalau kita perhatikan semut, semut akan selalu berusaha secara berulang-ulang dan terus menerus sehingga ia berjaya mencapai matlamat yang digenggam.
Analogi yang diberikan cukup mudah. Bayangkan kalau ada cebisan makanan di lantai, dan cebisan itu saiznya jauh lebih besar daripada si semut, tetapi pernahkah nampak semut tidak mengerumuni cebisan makanan itu? Tidak bukan? Semut akan berusaha mengangkut cebisan makanan itu ke sarangnya sedikit demi sedikit sehinggalah habis.
Andai dalam perjalanan mengangkut cebisan makanan itu terhalang, semut akan berusaha sedaya upaya dan memilih jalan yang lain mungkin ke kiri dan mungkin juga ke kanan sehinggalah matlamatnya untuk mengangkut cebisan makanan tersebut ke sarangnya tercapai.
Kadang-kadang jalan yang dilalui si semut itu terhalang dek air, maka ia bersama kawan-kawannya saling berkerja sama membuat jambatan. Jika semut-semut yang lain sudah menyeberang, maka semut-semut yang membentuk jambatan akan merapat ke tepi.
SubhanAllah, Indahnya ciptaan illahi :)
Hakikatnya, semut mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam mewujudkan tekadnya untuk meraih apa yang diinginkan malahan ia tidak pernah kenal erti penat mahu pun lelah.
Sebagai perkongsian cerita, pada suatu masa dahulu ada seorang arab badwi pergi merantau kerana sesuatu keperluan. Dia merasa sangat letih dan penat serta berputus asa. Maka ia terduduk dan berfikir untuk kembali lagi. Kemudian dia melihat seekor semut yang merangkak naik ke atas batu besar, namun semut tersebut jatuh dan semut itu terus merangkak naik lagi ke atas batu besar itu berulang-ulang kali.
Setelah mencuba, akhirnya semut itu berjaya menaiki batu besar itu . Melihatkan situasi tersebut, si arab badwi itu berkata " Saya sepatutnya bersabar dan berusaha keras lebih daripada semut tersebut."
Akhirnya si arab badwi itu meneruskan perjalanannya dan berjaya sampai ke tempat yang ditujunya dan dia berkata "Cari dan raih , jangan pernah berkeluh kesah dan bosan dari usaha meraih apa yang kamu inginkan. Kerana penyakit orang yang ingin mencari dan meraih sesuatu adalah bosan."
Hebatkan si kecil bernama semut?
Terdapat kajian yang dijalankan menunjukkan semut mengumpulkan makanannya dari musim panas sehinggalah ke musim sejuk. Oleh sebab semut tidak banyak keluar pada musim sejuk, maka makanan yang telah dikumpul hanya di makan apabila tiba musim sejuk ini.
Cara semut untuk memastikan makanan yang disimpan itu kekal elok, maka dengan kuasa illahi semut tersebut akan membelah ditengah biji bijian itu di tengah bagi memastikan makanan itu tahan lama.
Semut mempunyai sifat cekal dan kesabaran yang tinggi malahan kita wajar mengambil iktibar darinya. Malah seandainya anda meletakkan sebuah batu ditengah-tengah jalan yang digunakan oleh kawanan semut, mereka tidak berundur sebaliknya mencari jalan lain dan berusaha sehingga matlamat itu tercapai.
Kalau dulu, saya hanya percaya perlu rajin seperti semut, tetapi kini saya percaya perlu gigih dan cekal seperti semut.

GEMPA BUMI DI JEPUN...>RAKYAT MALAYSIA SELAMAT

alt
Seratus rakyat Malaysia yang berada di wilayah Miyagi, Iwate dan Aomori, iaitu tiga wilayah yang teruk dilanda gempa bumi di Tokyo disahkan selamat, demikian menurut Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo Ahmad Rozian Abdul Ghani.
"Pihak kedutaan telah menghubungi rakyat Malaysia di sini dah sahkan mereka selamat. Tidak semua dapat kita hubungi kerana ada antara mereka pulang bercuti ke Malaysia atau wilayah berhampiran ekoran cuti semester ketika ini," katanya ketika dihubungi Bernama.
Daripada jumlah itu, katanya 67 orang adalah pelajar, 43 di universiti di Miyagi, 18 di Iwate dan enam di Aomori.

Pelajar dan rakyat Malaysia juga telah sedia maklum langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan seperti hadir ke pusat-pusat evakuasi yang disediakan pihak kerajaan tempatan seperti yang sentiasa dimaklumkan kepada mereka sebelum ini, katanya.
Laporan media asing berkata gegaran gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun menyebabkan bangunan-bangunan di Tokyo bergegar dan bergoncang selama beberapa minit, memaksa orang ramai meninggalkan kediaman masing-masing.
Berikutan itu amaran tsunami telah dikeluarkan di beberapa buah negara termasuk Filipina, Indonesia, Papua New Guinea dan Fiji.
Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong yang berada di Tokyo untuk tugasan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) berkata gempa kuat itu telah menyebabkan beratus-ratus ribu pengguna komuter terkandas di stesen kereta api bawah tanah berikutan perkhidmatan itu ditangguhkan.
Restoran berhampiran stesen kereta api sesak dengan kebanjiran penumpang kereta api yang mendapatkan perlindungan daripada cuaca sejuk, katanya.
"Orang ramai berbaris panjang untuk menggunakan telefon awam selepas talian telefon bimbit mengalami kesesakan," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Bernama.
Yong berkata kedutaan Malaysia di Tokyo kini bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di sana.
Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som dilaporkan sedang menghadiri seminar ketika gempa itu berlaku dan bergegas pulang ke kedutaan untuk memantau operasi.
Banyak gambar dan fail di pejabat kedutaan dilaporkan jatuh ke lantai ketika gempa kuat itu berlaku.
Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata kedutaan Malaysia di Tokyo akan meneliti perkembangan bencana itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung gempa tersebut.
"Tiada laporan berhubung kematian di kalangan rakyat Malaysia setakat ini dan semua pegawai kedutaan dan keluarga mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat," kata kenyataan itu.

JANGAN DITANGISI APA YANG BUKAN MILIKMU

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.
Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.
Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.
Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.
Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.
"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)
Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!